Sabtu, 8 Disember 2012

Tatabahasa 8

Kata Sendi

( A )
Kata sendi memerlukan kata nama sebagai objek untuk membentuk frasa sendi nama. Melihatkan konsep ini, maka frasa sendi nama oleh kerana tidak boleh digunakan atau dianggap salah. Ini adalah kerana yang hadir selepas kata sendi oleh adalah tergolong dalam kelas kata hubung dan bukannya kelas kata nama.

Dalam hal ini frasa oleh kerana perlulah diganti dengan frasa sendi nama oleh sebab kerana sebab adalah tergolong dalam kelas kata nama.
  • Oleh kerana terlalu sibuk, Halim tidak jadi balik ke kampung. ( X )
  • Oleh sebab terlalu sibuk, Halim tidak jadi balik ke kampung.( / )

( B )
Kata sendi nama akan tidak boleh digugurkan antara frasa adjektif yang menyatakan perasaan/sikap dengan frasa nama.
  • Dia amat minat kerjaya itu.( X )
  • Dia amat minat akan kerjaya itu.( / )

( C )
Kata sendi nama akan juga tidak boleh digugurkan antara kata kerja tunggal yang berbentuk tanpa imbuhan dengan kata/frasa nama.
  • Semua orang sepatutnya tahu tanggungjawab masing-masing.( X )
  • Semua orang sepatutnya tahu akan tanggungjawab masing-masing.( / )

( D )
Kata sendi nama dengan tidak boleh dilenyapkan selepas kata kerja tak transitif berawalan beR-, teR- atau tanpa imbuhan.
  • Saya ada bertemunya dalam majlis itu.( X )
  • Saya ada bertemu dengannya dalam majlis itu.( / )

( E )
Kata sendi nama demi tidak boleh digunakan bersama-sama kata sendi nama untuk kerana dianggap lewah dan harus digugurkan.
  • Demi untuk melaksanakan tugas, dia meninggalkan anak isterinya di kampung.( X )
  • Demi melaksanakan tugas, dia meninggalkan anak isterinya di kampung. ( / )

( F )
Frasa sendi nama di dalam atau di antara tidak boleh digunakan di hadapan frasa nama yang membawa pengertian tempat yang tidak mempunyai ruang atau jarak.
  • Di sekolah, Mazni bergiat cergas di dalam pelbagai aktiviti sukan dan persatuan.( X )
  • Di sekolah, Mazni bergiat cergas dalam pelbagai aktiviti sukan dan persatuan.( / )

( G )
Kata sendi nama sejak/semenjak digunakan untuk menyatakan waktu atau masa yang membawa maksud mulai atau bermula dari. Oleh sebab itulah, penggunaan frasa sendi nama sejak atau semenjak dari dianggap lewah dan dari hendaklah digugurkan.
  • “Sejak dari dulu lagi saya nasihatkan awak, tetapi awak degil,” kata Ani.( X )
  • “Sejak dulu lagi saya nasihatkan awak, tetapi awak degil,” kata Ani.( / )

( H )
Kata sendi nama tentang digunakan untuk menyatakan maksud berkenaan dengan hal/perkara yang umum sifatnya. Manakala kata sendi nama mengenai pula membawa maksud kena pada sasarannya. Oleh itu, kata sendi nama tentang dan mengenai tidak boleh disamakan fungsi dalam sesuatu ayat.
  • Forum Perdana kali ini membincangkan penghayatan masyarakat mengenai cara hidup Islam.( X )
  • Forum Perdana kali ini membincangkan penghayatan masyarakat tentang cara hidup Islam.( / )

( I )
Kata sendi nama pada unsur yang kedua dalam binaan ayat majmuk boleh digugurkan secara pilihan dalam penggabungan frasa sendi nama dengan kata hubung dan atau :
  • “Encik hendak bertemu dengan Encik Tan dengan atau Encik Lin?” tanya Hassan.( X )
  • “Encin hendak bertemu dengan Encik Tan atau Encik Lin?” tanya Hassan.( / )

( J )
Kata sendi nama pada unsur yang kedua dalam binaan ayat majmuk tidak boleh digugurkan kalau kata sendi nama dalam bentuk setara itu adalah.
  • Pemandu yang mabuk itu dikatakan memandu keretanya ke kiri dan kanan bahu jalan sebelum terhumbanke dalam gaung.( X )
  • Pemandu yang mabuk itu dikatakan memandu keretanya ke kiri dan ke kanan bahu jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.( / )

( K )
Kata sendi nama pada unsur yang kedua juga tidak boleh digugurkan kalau kata sendi nama dalam bentuk setara itu ialah ke yang tidak menggunakan kata hubung :
  • Pak Darus tidak diam duduk, jalannya ke hulu hilir sambil berfikir.( X )
  • Pak Darus tidak diam duduk, jalannya ke hulu ke hilir sambil berfikir.( / )

( L )
Kata sendi nama tentang tidak boleh disamakan fungsinya dengan kata sendi nama terhadap. Ini adalah kerana kata sendi nama tentang digunakan untuk menyatakan maksud berkenaan hal atau perkara yang umum sifatnya, manakala terhadap pula digunakan untuk menyatakan maksud rujukan yang membabitkan penyambut yang tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda :
  • Tanggapannya tentang Zakiah selama ini ternyata meleset.( X )
  • Tanggapannya terhadap Zakiah selama ini meleset.( / )

( M )
Elakkan penggunaan kata sendi yang menyalahi fungsinya mengikut konteks sesuatu ayat.
  • “Tolong berikan bungkusan itu pada Sahul” kata Lim.( X )
  • “Tolong berikan bungkusan itu kepada Sahul” kata Lim.( / )

8 ulasan:

  1. Terima kasih kerana sudi kongsi maklumat. Maklumat ini amat berguna kepada murid-murid.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih kerana memberi ulasan kepada saya.Ulasan yang diberi amat saya hargai.

      Padam
  2. Satu paparan yang menarik dan baik.Blog cikgu amat dipuji kerana lengkap dan padat dengan banyak maklumat yang berguna.Syabas!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih kerana memberi ulasan kepada saya.Ulasan yang diberi amat saya hargai.

      Padam
  3. Cikgu Liew amat baik kerana menyediakan blog ini.Saya sentiasa menyuruh anak-anak saya membaca nota di sini pada waktu malam.Terima kasih Cikgu Liew.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih kerana memberi ulasan kepada saya.Ulasan yang diberi amat saya hargai.Harap segala maklumat di sini dapat membantu kamu untuk mendidik anak-anak.

      Padam
  4. Terima kasih Cikgu Liew kerana mengajar kami Bahasa Melayu.Saya suka membaca nota di sini.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama-sama.Usaha tangga kejayaan.Jadi,kita mestilah bersikap rajin dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk belajar.

      Padam