Khamis, 13 Disember 2012

Tajuk lagu : Lagu-lagu Asas Mengeja Bahasa Melayu

           Murid-murid sekalian, saya ingin memperkenalkan beberapa buah lagu untuk kalian.Tajuk lagunya "Lagu-lagu Asas Mengeja Bahasa Melayu". Lagu ini amat bermakna dan mempunyai enam bahagian. Kalian boleh mendengar lagu ini kemudian belajar suku kata dengan ejaan yang betul. Jangan lupa menutup muzik blog saya pada music player di bawah sekali. 

Bahagian 1

Bahagian 2

Bahagian 3

Bahagian 4

Bahagian 5

Bahagian 6

Pengajaran dan Pembelajaran 15

          Murid-murid sekalian, kali ini saya telah menyediakan nota untuk Kata Penguat serta sedikit latihannya.Berharaplah kalian boleh menghargai masa dengan membaca nota ini lalu menjawab latihan yang seterusnya.Jawapan akan diberi kemdiannya sebagai sesi perbincangan.Cubalah menjawab latihan yang disediakan.Selamat belajar.         

Kata Penguat

Nota :

Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. Imbuhan “ter-” apabila bergabung dengan kata adjektif seperti cantik (tercantik), baik (terbaik), tinggi (tertinggi) membawa maksud “paling” berfungsi sebagai kata penguat. Oleh itu bentuk-bentuk tersebut tidak boleh digandingkan dengan kata penguat seperti “paling”, “sangat” dan “sekali” kerana berlaku unsur kelewahan. Kata “paling”, “sangat” dan “sekali” tergolong sebagai kata penguat.

Terdapat tiga jenis kata penguat, iaitu :
  1. kata penguat hadapan yang mendahului frasa atau kata adjektif. Contoh: terlalu, paling, agak, cukup, makin, kurang.
  2. kata penguat belakang yang mengikuti kata adjektif. Contoh: sekali, benar, nian, betul.
  3. kata penguat bebas yang boleh mendahului atau mengikuti kata adjektif. Contoh: amat, sangat dan sungguh.
Hanya satu kata penguat boleh digunakan di hadapan atau di belakang sesuatu kata adjektif. Contoh penggunaan kata penguat dalam ayat adalah seperti yang berikut:
  1. Dalam kalangan adik-beradiknya, dia yang paling rajin (bukan paling rajin sekali).
  2. Harga kereta itu mahal sangat atau harga kereta itu sangat mahal (bukan sangat mahal sekali/ terlalu mahal sangat).
  3. Cantik sekali kasut yang dibelinya itu (bukan terlalu cantik sekali baju yang dibelinya itu).
  4. Saya mendapat markah tertinggi dalam kelas (bukan tertinggi sekali/ paling tertinggi).
Latihan :

Isi tempat kosong dalam ayat-ayat di bawah dengan jawapan yang paling sesuai.

1.)  ______________ pantas kuda berwarna putih itu berlari.
A         Nian
B          Benar
C         Sekali
D         Terlalu

2.) Haiwan yang ___________ besar di darat ialah gajah.
A         betul
B          benar
C         sekali
D         paling

3.) Antara batu permata itu, berlian yang ___________mahal.
A          paling
B          sekali
C         benar
D         betul

4.) Rasa kopi yang dibancuh oleh Ros _________ manis.
A         nian
B          agak
C         betul
D         benar

5.) Arumugam merupakan penjaga gol pasukan negara yang __________ 
      handal.
A         paling
B          sekali
C         betul
D         nian

6.) Tulisan Sulaiman _________ cantik dan kemas.
A         sungguh
B          sekali
C         benar
D         nian

7.) Cerita yang dikarang oleh Maniam itu _________ menarik.
A         amat
B          betul
C         benar
D         sekali

8.) Rasa buah durian itu _________ sedap.
A         betul
B          benar
C         sekali
D         sangat

9.) Sang Kancil merupakan haiwan yang __________ pintar.
A         paling
B          sekali
C         betul
D         nian

10.) Biskut coklat yang dibuat oleh Mak Cik Yam ____________rangup.
A         sekali
B          betul
C         amat
D         nian

Pengajaran dan Pembelajaran 14

Murid-murid sekalian, ini merupakan kali yang ke-14 untuk online P&P. Berharaplah apa-apa yang disediakan di sini dapat membantu kalian dalam pelajaran yang seterusnya di sekolah. Untuk kali ini, saya telah menyediakan latihan ulasan.

Petikan :


Pada hari Sabtu yang lepas, Boon See telah menyertai satu kem motivasi di sekolah. Pada pagi itu, dia bangun awal supaya tidak lewat ke sekolah.

Apabila tiba di sekolah, Boon See beratur untuk mendaftarkan diri. Kemudian, guru-guru membahagikan tugas kepada murid-murid dengan sama rata. Semasa aktiviti dijalankan, Boon See dan kawan-kawannya bersama-sama membuat kerja. Di samping itu, mereka menumpukan perhatian semasa guru memberikan arahan.

            Sebelum pulang, mereka membersihkan kawasan sekolah. Boon See berasa gembira kerana berpeluang menyertai kem ini.


Nota :

Situasi

Nilai murni
Pada hari Sabtu yang lepas, Boon See telah menyertai satu kem motivasi di sekolah.

Menghargai masa
Pada pagi itu, dia bangun awal supaya tidak lewat ke sekolah.

Menepati masa
Apabila tiba di sekolah, Boon See beratur untuk mendaftarkan diri.

Berdisiplin
Kemudian, guru-guru membahagikan tugas kepada murid-murid dengan sama rata.

Bersikap adil
Semasa aktiviti dijalankan, Boon See dan kawan-kawannya bersama-sama membuat kerja.

Bekerjasama
Mereka menumpukan perhatian semasa guru memberikan arahan.

Mematuhi peraturan
Sebelum pulang, mereka membersihkan kawasan sekolah.

Menjaga kebersihan
Boon See berasa gembira kerana berpeluang menyertai kem ini.

Bersyukur
                                                                                                                                  
Jawapan :

            Kita mestilah berdisiplin. Contohnya, Boon See beratur untuk mendaftarkan diri apabila tiba di sekolah. Seterusnya, kita haruslah bersikap adil seperti guru-guru membahagikan tugas kepada murid-murid dengan sama rata. Di samping itu, kita wajarlah bekerjasama. Contohnya, Boon See dan kawan-kawannya bersama-sama membuat kerja semasa aktiviti dijalankan. Akhirnya, kita hendaklah bersyukur seperti Boon See berasa gembira kerana berpeluang menyertai kem ini.

Rabu, 12 Disember 2012

Pengajaran dan Pembelajaran 13

          Murid-murid sekalian, tibalah masa untuk online P&P. Masa cuti masih panjang lagi, saya akan cuba menyediakan seberapa banyak maklumat, nota atau latihan di sini. Berharaplah kalian dapat menghargai masa dengan mengunjungi blog saya untuk membaca nota serta membuat latihan. Ini sedikit sebanyak akan membantu kalian dalam pelajaran nanti. Selamat belajar.

Aktiviti Bina Ayat :

Gambar 1


Kata Kerja      : memancing 

Contoh Ayat   : Ming Hui dan adiknya memancing ikan di tepi sebuah kolam yang cantik.

Gambar 2 


Kata Kerja     : berlari

Contoh Ayat  : Peserta-peserta berlari dengan pantas untuk mendapat pingat emas dalam 
                         acara lumba lari.

Gambar 3 

Kata Kerja      : memadamkan

Contoh Ayat   : Ahli bamba yang bertungkus-lumus itu memadamkan api dengan secepat 
                          mungkin.

Gambar 4


Kata Kerja       : menyiram

Contoh Ayat    : Mei Fen menyiram pokok bunga yang cantik di taman bunga.

Gambar 5


Kata Kerja        : melukis

Contoh Ayat     : Stephenie suka melukis gambar yang cantik pada masa lapang.

Pengajaran dan Pembelajaran 12

Murid-murid sekalian, memandangkan masa cuti panjang lagi, saya telah menyediakan latihan yang mengenai ulasan. Pada kali ini, saya telah menyediakan latihan ulasan yang mengenai pengajaran negatif. Berharaplah kalian tidak terlupa cara-cara menjawabnya. Selamat belajar.

Latihan ulasan ( Pengajaran negatif ) :

1.) Qiu Wei suka melepak di mana-mana tempat sahaja selepas waktu persekolahan.

Nilai murni       : menghargai masa

Jawapan          : Kita hendaklah menghargai masa bukannya seperti Qiu Wei suka melepak di
                         mana-mana tempat sahaja selepas waktu persekolahan.

 2.) Adik Chong Wei merosakkan mainan yang dibeli oleh ibunya dengan sesuka hati.

Nilai murni       : menghargai barang

Jawapan          : Kita mestilah menghargai barang bukannya seperti adik Chong Wei
                         merosakkan mainan yang dibeli oleh ibunya dengan sesuka hati.
   
3.) Ah Seng membeli barang yang tidak diperlukan dan suka membeli barang yang berjenama
     sahaja.

Nilai murni       : berjimat cermat

Jawapan          : Kita wajarlah berjimat cermat bukannya seperti Ah Seng membeli barang
                         yang tidak diperlukan dan suka membeli barang yang berjenama sahaja.

4.) Pak Ali sentiasa mengumpul sampah sarap dan membakarnya di tepi rumah.

Nilai murni       : menjaga kebersihan

Jawapan          : Kita haruslah menjaga kebersihan bukannya seperti Pak Ali sentiasa
                         mengumpul sampah sarap dan membakarnya di tepi rumah.

5.) Semasa Siew Ling terjatuh, Ming Kang berpeluk tubuh sahaja dan tidak menghulurkan
     bantuan yang sewajarnya.

Nilai murni       : baik hati

Jawapan          : Kita patutlah baik hati bukannya seperti semasa Siew Ling terjatuh, Ming
                         Kang berpeluk tubuh sahaja dan tidak menghulurkan bantuan yang
                         sewajarnya

Selasa, 11 Disember 2012

Pengajaran dan Pembelajaran 11

Murid-murid sekalian, tibalah masa untuk aktiviti bina ayat. Berdasarkan gambar yang diberikan, saya akan memberi frasa kata kerja serta contoh ayat-ayat yang dibina. Dengan ini, berharaplah kalian boleh mengulang kaji dan ayat-ayat yang dibina adalah sebagai rujukan sahaja. Selamat belajar.

Bina lima ayat berdasarkan gambar yang diberikan.


Perbendaharaan kata :

Frasa Kata Kerja

Makna
Mencuci pinggan mangkuk

洗碗碟
Menyiang ikan

洗杀鱼
Menggoreng sayur

炒菜
Mengupas bawang

剥洋葱
Mengelap meja

抹桌子

Bina ayat :

1. Abang saya mencuci pinggan mangkuk yang kotor sehingga bersih.

2. Kakak saya menyiang ikan yang segar sebelum digoreng.

3. Ibu saya menggoreng sayur untuk dijadikan lauk yang sedap.

4. Adik perempuan saya mengupas bawang dengan sebilah pisau.

5. Adik lelaki saya mengelap meja sebelum makanan dihidangkan.

Isnin, 10 Disember 2012

Aktiviti Sekolah 10

Kem Motivasi
            
        Menjelang peperiksaan UPSR, sekolah saya akan mengadakan Kem Motivasi untuk murid-murid tahun 6. Kem ini diadakan dengan tujuannya untuk memberi galakan dan dorongan kepada murid-murid tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Murid-murid digalakkan supaya belajar dengan bersungguh-sungguh lagi tanpa membuang masa. Di samping itu, kem ini juga dapat menenangkan fikiran murid-murid dan juga menghilangkan tekanan yang berat. 









Contoh Karangan 10

Aku Sebuah Kereta

Aku sebuah kereta. Namaku Saga. Aku dilahirkan di kilang proton di  Shah Alam. Tubuh badanku  direka khas untuk memenuhi cita rasa pengguna di Malaysia. Setelah siap diproses menjadi sebuah kereta, aku dan rakan-rakan telah ditempatkan di bilik pameran kereta.

Sempena pelancaran kereta baru ini, aku dan rakan-rakan telah mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung. Mereka memandu ujiku dan rakan-rakan. Para pengunjung yang datang ke majlis pelancaran kereta itu sangat berpuas hati dengan kehebatan kami.

Aku dan rakan-rakan umpama pisang goreng kerana kami telah habis ditempah oleh para pembeli. Seorang guru sekolah bernama Ali  telah menjadi tuan aku. Aku berjanji memberi perkhidmatan yang terbaik buat tuanku.  
         
Setiap pagi, Ali akan membawa aku ke sekolahnya. Dia sangat bangga dengan reka bentuk aku. Rakan-rakan  juga sering memujiku. Selain ke sekolah, aku juga membawa isterinya ke pejabat di Putrajaya.

Aku selalu dicuci dan dibersihkan pada hujung minggu. Selepas dikilatkan, aku menjadi seperti baharu semula. Ini membuat aku semakin lama semakin disayangi oleh tuanku.

Pada suatu hari, tuanku telah terlewat bangun. Dia tergesa-gesa pergi ke sekolah. Dia memanduku dengan laju sekali. Malang tidak berbau aku telah terbabit dalam kemalangan ngeri dengan sebuah lori. Aku rosak teruk dan tuanku meninggal dunia. Aku bukan sahaja sedih akan diriku tetapi meratapi akan nasib tuanku.     

Perbendaharaan kata :

Kosa kata

Makna
Dilahirkan

被生产
Direka khas

被特别设计
Mendapat sambutan hangat

得到热烈的反应
Berpuas hati

满意
Dikilatkan

被擦亮
Terlewat bangun

迟起身
Tergesa-gesa

匆匆忙忙
Kemalangan ngeri

恐怖的意外
Meninggal dunia

去世
Nasib

命运

Jom Membaca 10

Sang Merak dengan Sang Arnab

Arnab sangat risau kerana ekornya pendek. Arnab ingin benar ekornya panjang dan cantik. Arnab mahu ekornya seperti ekor merak. Ekor merak panjang dan cantik. Semua manusia memuji kecantikan ekor merak.

Pada suatu hari, arnab berjumpa dengan merak. Arnab memuji kecantikan merak. Merak berasa bangga kerana dapat pujian. Merak mengembangkan ekornya. Ekornya sangat cantik. Arnab terus memuji kecantikan merak.

Namun, arnab memuji merak kerana ada tujuan lain. Arnab ingin meminjam ekor merak. Merak bersetuju meminjamkan ekornya kepada arnab. Merak membuat pertukaran ekor dengan arnab. Arnab memakai ekor merak. Merak memakai ekor arnab.

Alangkah gembiranya arnab apabila mendapat ekor merak. Arnab berlari ke sana dan ke mari. Arnab menari-menari di tengah padang. Merak pula memakai ekor arnab. Alangkah terperanjatnya merak kerana mendapati dirinya berekor kontot.

Pang! Tiba-tiba terdengar bunyi senapang. Arnab termengah-mengah lari masuk ke dalam hutan. Arnab pergi berjumpa merak.
Arnab menceritakan bahawa ia ditembak oleh pemburu. Nasibnya baik kerana tidak terkena peluru pemburu.

Arnab minta  semula ekornya. Mereka bertukar ekor masing-masing. Arnab tidak mahu memakai ekor merak lagi.  "Biarlah ekorku pendek dan tidak cantik, asalkan diriku selamat," fikir arnab.

NILAI MURNI :          

Bersyukur --- Murid-murid sekalian, kita haruslah bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita. Setiap kurniaan Tuhan pastilah ada kebaikannya untuk diri kita.