Rabu, 28 November 2012

Pengajaran dan Pembelajaran 5

       Murid-murid sekalian, selain bahan-bahan penulisan, saya juga akan menyediakan bahan-bahan tatabahasa seperti nota dan latihan di sini. Kalian boleh membaca nota dan kemudian membuat latih tubi di rumah. Selepas menjawab, kalian boleh menyemak jawapan dan membuat pembetulan kerana jawapan adalah disediakan. Selamat belajar sepanjang cuti sekolah ini.   

KATA ADJEKTIF :

Kata adjektif ialah kata yang berfungsi untuk menerangkan keadaan atau sifat bagi sesuatu kata nama atau frasa nama.

Kata adjektif boleh dikenal pasti apabila sesuatu kata itu boleh menerima kata penguat.  Kata penguat ada tiga jenis, iaitu kata penguat hadapan  yang hadir sebelum kata adjektif, kata penguat belakang yang hadir selepas kata adjektif, dan penguat bebas yang hadir sebelum atau selepas kata adjektif.

Kata Penguat Hadapan
Kata Penguat Belakang
Kata Penguat Bebas
terlalu, paling, agak, begitu
sekali, benar, nian, betul
amat, sangat, sungguh
Contoh ayat:
·         Pokok di belakang rumah Rahman terlalu rendang.
·         Masakan ibunya paling sedap.
·         Lukisan itu agak cantik.
Contoh ayat:
·        Kelakuan budak-budak itu nakal sekali.
·        Rumah di atas bukit itu cantik betul.
·        Pemandangan di situ indah nian.
Contoh ayat:
·       Pakaian pemuda itu amat kemas.
·       Pakaian pemuda itu kemas amat.
·       Sungai itu dalam sangat.
·       Sungai itu sangat dalam.

1.  Frasa Adjektif yang diperluas.
            Frasa adjektif yang diikuti oleh frasa sendi apabila diperluas.
            Contoh :        Saya gemar lagu-lagu Melayu Asli. (X)
                                    Saya gemar akan lagu-lagu Melayu Asli. (√)
                                    Kami benci sikapnya itu. (X)
                                    Kami benci akan sikapnya itu. (√)

2.  Bentuk Kata Adjektif
  • Kata adjektif tunggal – terdiri daripada satu perkataan. Contohnya : terang, pendek, gemuk.
  • Kata adjektif terbitan -  kata adjektif yang menerima imbuhan awalan, sisipan, akhiran dan apitan.
  • Kata adjektif ganda – bermaksud makna keadaan sifat yang menyeluruh (besar-besar, cantik-cantik.)
  • Kata adjektif majmuk – rangkaian 2 kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. (merah jambu, hijau daun)

3. Kata Adjektif Terbitan
          i.  Imbuhan Awalan teR-
            Awalan ter- pada kata adjektif berfungsi sebagai penjelasan keadaan
            perbandingan atau keadaan ‘paling’.
            Contoh:
            Ali ialah murid yang terkecil  di kelas itu. (paling kecil)
            Alan ialah murid yang terkacak di kelas itu. (paling kacak)

  • Apabila kata adjektif sudah berawalan ‘ter’ maka tidak perlu disertai oleh kata penguat yang lain.
Contoh:
            Zainal mendapat markah paling terbaik. (X)
            Zainal mendapat markah terbaik. (√)
            Ali mendapat markah paling baik. (√)

  • Jika kata adjektif berawalan ter- digunakan, kata penguat belakang tidak boleh hadir.
Contoh :
Stadium inilah yang terbesar sekali. (X)
Stadium inilah yang terbesar. (√)

       ii.    Imbuhan Awalan se-
            Awalan ‘se-‘ dapat menerbitkan kata adjektif yang berfungsi sebagai
            memberikan pengertian ‘sama dengan’.
            Contoh:
            Warna baju itu semerah darah. (sama merah dengan)
            Gadis itu secantik bidadari. (sama cantik dengan)

Kata adjektif awalan ‘se-‘ membawa makna ‘sama dengan’ maka tidak perlu diikuti dengan kata sendi ‘dengan’.
Contoh:
            Kereta baharunya tidak secantik dengan kereta abang saya. (X)
            Kereta baharunya tidak secantik kereta abang saya. (√)

       iii. Apitan ke-...-an
Apitan ke-...-an dapat menerbitkan kata adjektif yang mendukung makna menyerupai sifat atau sama seperti. Oleh itu, penggunaan kata ‘seperti’ sebelum kata adjektif apitan ‘ke-...-an’ adalah salah.
Contoh:
Matanya seperti kemerah-merahan akibat kurang tidur. (X)
Matanya kemerah-merahan akibat kurang tidur. (√)
Pertuturan pemuda itu seperti kearaban selepas pulang dari Jordan. (X)
Pertuturan pemuda itu kearaban selepas pulang dari Jordan. (√)

Apabila kata adjektif mengalami penggandaan, maka kata nama tidak boleh digandakan lagi untuk menunjukkan maksud jamak.
            Contoh:
            Barang-barang yang dijual di kedai itu murah-murah belaka. (X)
            Barang yang dijual di kedai itu murah-murah belaka. (√)

Rumus Penggunaan Kata Adjektif dan Kata Penguat.
Rumus

Ayat Contoh
sangat
amat         +   kata adjektif + sekali
sungguh

Rumah di atas bukit itu sungguh besar sekali.
ter-     +   kata adjektif
Razman merupakan murid yang terpandai di dalam kelasnya.
paling + kata adjektif
Bangunan itu paling tinggi di Malaysia.
paling + ter-  +  kata adjektif
X
Dialah paling tercantik.
paling + kata adjektif  +  sekali
X
Nora paling ayu sekali.
Ter-  +  amat/sangat  +  kata adjektif

X


Latihan Kata Adjektif : 
    
Isi tempat kosong dalam ayat-ayat di bawah dengan jawapan yang sesuai.

Soalan pertama berdasarkan gambar di bawah:


1. Pakaian pengemis itu kelihatan _______________  sekali.
A.        hodoh           
B.         lusuh  
C.        cantik
D.        indah

2. Emak saya menggunakan pisau yang _________ untuk menyembelih ayam.
A.        tumpul           
B.         baharu          
C.        tajam 
D.        panjang

3. Balai polis di kawasan perumahan saya terletak tidak ____________ dari balai
    bomba.  
A.        jauh               
B.         dekat
C.        hampir          
D.        samping

4. Rasa peria itu __________ seperti hempedu.
A.        manis
B.         masam          
C.        pahit  
D.        masin

5. Kerja yang dilakukan secara ___________ tidak akan sempurna jadinya.
A.        gopoh           
B.         lambat          
C.        cepat
D.        cermat

6. Ada ramai ibu bapa yang datang bertemu dengan saya untuk  mengikhtiarkan
masalah anak-anak mereka yang ___________ dan tidak mendengar nasihat
mereka.
A.        gembira                    
B.         degil  
C.        peramah                  
D.        berani

7. Seorang guru perlu mesra, _________ dan juga mudah untuk berkawan dengan
    sesiapa saja.
A.        degil  
B.         peramah      
C.        gopoh           
D.        jelita

8. Pemandangan di Bukit Tinggi memang ___________ dan mempersonakan.
A.        cantik                   
B.         jelita                 
C.        indah                
D.        dingin

9. Perempuan yang ___________ itu adalah penyanyi terkenal Siti Nurhaliza.
A.        indah                    
B.         jelita                                
C.        tegap               
D.        lusuh

10. Lee Chong Wei mestilah berbadan _______________  untuk menyertai
      pertandingan badminton antarabangsa.
A.        tegak                    
B.         gopoh              
C.        tegap              
D.        cantik

11. Emak saya suka menggunakan pisau yang tajam dan tidak ___________semasa
      memotong sayuran atau daging
A.        tumpu             
B.         lumpur        
C.        tumpuh       
D.        tumpul

12. Rasa buah limau itu ___________ seperti cuka.
A.        masin                   
B.         manis               
C.        masam            
D.        pahit

13. Para penyelidik di Switzerland telah berjaya menghasilkan
      robot ___________untuk disuntik ke dalam mata tanpa bantuan ubat bius.
A.        halus               
B.         kasar           
C.        hodoh         
D.        gopoh

14. Namun air yang ___________ jangan disangka tiada buaya.
A.        tenang             
B.         gopoh          
C.        biru             
D.        lumpur

Soalan 15 berdasarkan gambar di bawah :


15. Pintu rumah saya mempunyai kaca yang berbentuk _____________ .
A.        bujur                
B.         lonjong        
C.        bulat            
D.        segi empat

Jawapan : 1.B  2.C  3.A  4.C  5.A  6.B  7.B  8.C  9.B  10.C  11.D  12.C  13.A 14.A  15.B

8 ulasan:

  1. Tanpa Nama5:06:00 PTG

    chinliankangJawapan : 1.B 2.C 3.A 4.C 5.A 6.B 7.B 8.C 9.B 10.C 11.D 12.C 13.A 14.A 15.B

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Lian Kang kerana kamu sudi menjawab latihan saya. Kamu seorang murid yang sungguh rajin belajar. Syabas, teruskan usaha anda :)

      Padam
  2. penerangan yang jelas!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih cikgu kerana sudi memberi komen kepada saya :)

      Padam
  3. Balasan
    1. Thanks for your support and comment :)

      Padam
  4. saya suka blog ini, usaha lagi!
    sila datang ke blog saya.
    http://tangeokhwa1963.blogspot.com/

    BalasPadam
  5. Terima kasih Cikgu Tan, saya juga telah mengunjungi blog anda dengan menjadi pengikut blog anda. Saya juga memberi komen di bahagian makanan tradisi orang India. ^^

    BalasPadam